ISKANDAR PUTERI: Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tidak dapat hadir ke Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2022) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini.
Osman yang mewakil kerusi DUN Kempas masih dalam proses pemulihan selepas diserang penyakit angin ahmar pada 13 Oktober lalu ketika berada di kediamannya.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad turut mengajak ahli dewan dan semua pihak mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Osman yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam.
“Kita juga dimaklumkan Yang Berhormat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kempas tidak dapat hadir atas faktor kesihatan. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau dan keluarga,” katanya.
Osman kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun belum pulih sepenuhnya termasuk belum dapat menggerakkan anggota badannya serta masih dirawat di Hospital Serdang.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/PM-2-600x362.jpg)
Terdahulu, sesi pembentangan bajet yang bertemakan Memperhebat Kesejahteraan Johor turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir.
Kehadiran Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menarik perhatian selepas beliau baru-baru ini mengeluarkan kenyataan tidak berdepan seberang masalah untuk mengambil langkah drastik sehingga menyebabkan DUN Johor terbubar.
“Saya boleh tekan button, semua jatuh… saya jatuh kerana UMNO tidak sokong,” katanya sebagai membalas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad yang mencabar Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE