SHAH ALAM: Pengusaha bas sekolah dari sekitar Lembah Klang kecewa dengan pembentangan Bajet 2022 apabila tidak menerima bantuan khusus daripada kerajaan walaupun sebanyak RM52.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Selain bas sekolah, bantuan khusus juga tidak disediakan kepada pengusaha pengangkutan awam lain termasuk e-hailing yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSKL), Mohamad Harun Mohamad Sidik berkata, pihaknya bersama pengusaha pengangkutan penumpang yang terkesan akan menyuarakan hasrat mereka dalam satu perhimpunan besar-besaran kepada kerajaan tahun depan.
“Nampaknya kita tidak dipandang oleh kerajaan dalam Bajet 2022. Kami dari industri bas, teksi,lori dan e-hailing akan meneruskan hasrat untuk berhimpun bagi menuntut pihak kerajaan bagi membantu para pengusaha terbabit.
“Kerajaan tidak pandang kepada teguran, kesusahan dan kegelisahan kami.Penindasan demi penindasan kita alami selama ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, masalah berkaitan pengusaha bas sekolah sebelum ini pernah dilaporkan pelbagai akhbar yang memaparkan masalah termasuk hal berkaitan kewangan dihadapi mereka rentetan daripada PKP 1.0 hingga Pelan Pemulihan Nasional (PPN) berfasa tahun ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ dengan peruntukan daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM332.1 bilion.
Daripada peruntukan tersebut sebanyak 15 peratus diperuntukkan dalam sektor pendidikan melalui KPM yang memperuntukkan perbelanjaan seperti bantuan pendidikan dan keperluan makanan termasuk susu kepada pelajar sekolah.
Dalam pada itu, Mohamad Harun memberitahu, masalah dihadapi pengusaha dan pemandu bas sekolah adalah serius sehingga ada yang bertindak menjual kenderaan di bawah harga pasaran bagi menampung keperluan sara hidup diri serta keluarga.
“Pengusaha bas sekolah bercadang mengadakan perhimpunan pada 2 Februari tahun depan di lokasi yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan pengusaha pengangkutan awam diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Kita akan menjemput semua pengerusi-pengerusi parti politik untuk hadir bersama. Jika permintaan kita ini dipandang rendah, kita akan tubuhkan parti politik kita sendiri untuk bertanding,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE