Bajet 2022: Kita sudah tidak boleh kurang lagi - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Kita sudah tidak boleh kurang lagi – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berbual bersama penerima rumah, Korperal Christina Clinie Anak Bonsu dan Korperal Udara Claudius Willson Anak Cliff Wandy, sambil diperhatikan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang pada Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera, di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2022 yang mencatatkan perbelanjaan sebanyak RM332.1 bilion dibentangkan pada 29 Oktober lalu sudah tidak boleh dikurangkan pada paras minimum.

Hal itu setelah mengambil kira semua sudut dan keadaan kewangan negara serta rakyat yang masih bergelut akibat pandemik Covid-19 sejak wabak berkenaan melanda negara pada awal tahun lalu.

Justeru, Perdana Menteri memberi jaminan Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan dan kewangan negara dengan baik serta seimbang walaupun belanjawan itu adalah terbesar dalam sejarah belanjawan negara.

“Bajet 2022? Kita (kerajaan) sudah tidak boleh kurang lagi. Saya sudah beritahu masa pra-bajet tempoh hari, apabila kita berikan bajet, kita mengambil kira semua keadaan dari segi kewangan dan sebagainya.

“Tapi ketika ini kebajikan rakyat amat penting, rakyat yang susah selama setahun lebih atau dua tahun akibat daripada pandemik kebanyakannya dari segi kemampuan untuk hidup agak sukar.

“Kalau kita kira dari segi perbelanjaan terbesar dalam kewangan seperti yang ada hari ini, maka kita takkan berbelanja untuk rakyat tapi seperti saya kata kepentingan rakyat itu keutamaan kita, melegakan rakyat sewaktu susah ini menjadi keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Bajet 2022 perlu disemak semula kerana menelan peruntukan terbesar dalam sejarah negara.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, peruntukan dalam bidang telekomunikasi, pertanian dan pendidikan boleh dikurangkan supaya hutang negara pada masa hadapan dapat diringankan.

Untuk rekod, hutang luar Malaysia dilaporkan meningkat kepada RM1.021 trilion atau 67.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2021 disebabkan peningkatan pinjaman luar pesisir oleh sektor awam dan pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit lebih besar oleh bukan pemastautin.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 oleh Kementerian Kewangan, jumlah tersebut pada tahun lalu adalah RM958.14 bilion atau 67.6 peratus daripada KDNK. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya