Bahasa Melayu: Contohi Tuan Ibrahim, kata DBP - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu: Contohi Tuan Ibrahim, kata DBP

TUAN IBRAHIM TUAN MAN menyampaikan kenyataan negara di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-26) di Glasgow, Scotland. - FB TUAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu di  Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021, wajar dicontohi pemimpin lain di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berpendapat, budaya pemimpin berucap dalam bahasa masing-masing telah lama diamalkan oleh pemimpin negara lain seperti China, Jerman, Rusia, Perancis, Indonesia dan lain-lain.

“Ucapan menteri itu membuka lembaran baharu dalam perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dan wajar dilaksanakan  pemimpin lain juga.

“Dengan modal yang kecil untuk membayar khidmat terjemahan, negara sebenarnya memperoleh faedah yang amat besar. Selain soal imej negara, akan ada lonjakan lain daripada usaha mengangkat bahasa negara di peringkat dunia, seperti pelancongan, perdagangan dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika hadir di persidangan COP26 yang diadakan di Glasgow, Scotland semalam, Tuan Ibrahim tampil di atas pentas dengan memakai serba hitam termasuk kopiah hitam dan menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu selama empat minit.

Beliau memulakan ucapannya dengan surah Ar-Rum, ayat 41, yang menerangkan bahawa kerosakan alam berpunca daripada perbuatan manusia, sebelum menyatakan komitmen negara terhadap usaha melestarikan alam sekitar di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, DBP dalam sasaran kerja utama sejak lebih 20 tahun lalu telah meletakkan sasaran menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di PBB.

“Usaha itu belum tercapai kerana banyak bergantung pada keputusan dan pelaksanaan oleh kerajaan. Dengan perkembangan kini, saya positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan di peringkat antarabangsa.

“Menteri Luar Negara, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam kunjungan ke DBP pada 6 Oktober lalu telah mengisytiharkan Program Diplomasi Kebudayaan yang antara lain menggerakkan bahasa, persuratan dan kebudayaan negara di peringkat dunia melalui peranan kedutaan-kedutaan utama Malaysia di dunia, dengan kerjasama DBP.

“Negara kita tanggungjawab kita. Bahasa kita tanggungjawab kita,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menerusi akaun Twitter miliknya menyifatkan bahasa Melayu wajar dimartabatkan di peringkat hubungan antarabangsa.

“Tahniah Tuan Ibrahim berucap dalam bahasa Melayu di sidang antarabangsa di Scotland. Kumandangkan olehmu Bahasa Jiwa Bangsa.

“Minggu lalu saya minta Perdana Menteri agar tegas dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan kita dalam arena diplomasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya