IPOH: Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Azizi Mat Aris dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berkuatkuasa esok.
Azizi mengambil alih tugas itu daripada Datuk Mazlan Santarai yang bersara wajib bermula esok.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.
Pada majlis sama, turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak antara Senior Asisten Komisioner Mohd. Alwi Zainal Abidin dengan bekas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor.
Mohd. Alwi akan berpindah ke Bukit Aman dan mengisi jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan).
Bagi jawatan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak yang dijawat Datin Rosiah Timah Jamiyor akan diambil alih oleh Datin Wanita Wari. – UTUSAN ONLINE