PADANG TERAP: Suatu ketika dahulu ayam serama dibela untuk pertandingan, namun, sejak pandemik Covid-19 ini, didapati haiwan peliharaan itu menjadi buruan orang ramai yang ingin menternak bagi tujuan mengisi masa lapang.
Seorang penternak dan pembaka ayam serama, Nazmi Tirmizi, 35, dari Kampung Rambutan, Kuala Nerang di sini mengakui haiwan itu semakin popular sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan antara ciri-ciri dicari adalah bentuk tubuh yang cantik dan warna yang menarik.
“Dahulu, haiwan ini cuma jadi buruan mereka yang bertanding untuk pertandingan atau golongan elit saja, tetapi, sejak kebelakangan ini, penggemarnya daripada kelompok sesiapa saja yang ingin membelanya seperti haiwan lain.
“Ayam serama ini, jika semakin mendada bentuk tubuhnya seolah-olah kelihatan seperti sombong, semakin ia digemari.
“Malah, ada yang sanggup membuat tempahan ayam serama ini daripada telurnya lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, di sini semalam.
Menurut Nazmi, fizikal ayam serama yang diternaknya adalah semula jadi dengan menggunakan baka yang baik.
“Setakat ini, saya menternak 100 ayam serama di rumah dan dipasarkan melalui laman media sosial saya. Permintaan untuk ayam serama ini datang dari seluruh negara,” katanya
Bercakap tentang harganya, katanya yang juga seorang penjawat awam, nilai ayam serama itu mampu mencecah ribuan ringgit mengikut baka, bentuk tubuh dan warnanya.
“Pemilihan ayam serama ini mengikut selera masing-masing seperti juga pertandingan ayam serama, ia akan dinilai mengikut bentuk badan, warna, bulu, balung dan bakanya. Makin segak, nampak sombong makin disukai,” katanya.
Menurut Nazmi, dia juga terjun di dunia ayam serama itu bermula daripada sekadar hobi sahaja sebelum memilih untuk menternak kerana permintaan yang menggalakkan daripada penggemarnya.
“Saya menganggap ayam serama ini unik dan merupakan ikon negara kita. Apatah lagi haiwan ini berasal dari negara kita sendiri dan mula diternak di Kelantan.
“Banyak negara luar yang mengagumi kita kerana kepakaran menternak dan memelihara ayam sehingga ia menjadi segak dan cantik,” katanya yang sering menjuarai pertandingan ayam serama sebelum ini. – UTUSAN