MONACO: Olahraga Dunia mendapati sebanyak 87 peratus atlet wanita lebih cenderung menjadi sasaran penderaan mental menerusi platform media sosial berbanding lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.
Kajian tersebut yang diterbitkan pada Khamis lalu mendedahkan, 65 peratus daripada penderaan itu lebih berunsurkan kata-kata kesat melibatkan isu perkauman, seksis, transphobic dan homofobia, selain menuduh mereka gagal ujian doping.
Masalah tersebut timbul susulan pelancaran Dasar Perlindungan Olahraga Dunia pada awal bulan ini yang bertujuan memberi kesedaran dan memperketatkan langkah-langkah perlindungan kepada atlet di media sosial.
“Setelah menerbitkan Polisi Perlindungan kami pada awal bulan ini, saya berkata kelab olahraga, sekolah, komuniti dan persekitaran harus menjadi tempat yang selamat.
“Ia bagi menjadikan atlet gembira dan selesa ketika bersukan. Kita sekarang hidup di zaman globalisasi dan ramai di antara kita berkongsikan kehidupan menerusi laman sosial.
“Perkara ini tetap akan berlaku biarpun secara maya, sama seperti di dunia fizikal,” kata Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Coe berkata, kajian tersebut turut mendapati, mereka yang lebih banyak mendedahkan kehidupannya di laman sosial akan cenderung dibuli di alam siber.
“Kami faham, atlet biasanya akan berkongsikan kehidupan mereka sebagai satu cara memberi inspirasi atau motivasi kepada orang ramai.
“Ia sukar difahami, namun jelas situasi ini membimbangkan dan kita harus menghentikan tindakan jijik ini. Menjelaskan isu ini hanyalah langkah pertama,” ujarnya.
“Pergi mati”. Itu antara komen yang diterima pemain pingpong beregu campuran Jepun, Mima Ito di Twitter selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Jun Mizutani.
Di Korea Selatan, pemenang pingat emas memanah Olimpik berusia 20 tahun, An San menyiarkan semula mesej kesat yang ditujukan di Instagramnya. Dia menjadi sasaran selepas memotong rambut pendek – rupa yang dilabel “feminis” oleh beberapa pengguna media sosial.
Gimnas Jepun yang memenangi pingat gangsa senaman lantai di Tokyo 2020, Mai Murakami memberitahu pemberita, dia tidak sanggup membaca komen dalam media sosial kerana terlalu banyak kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya. – AGENSI