GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Betong, Balik Pulau, di sini.
Aktiviti yang menjejaskan lebih 200 nelayan pantai di kawasan tersebut sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ancaman oleh bot-bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang menyebabkan sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan berkenaan terjejas teruk.
Lebih malang, tambahnya, aktiviti nelayan dari Pulau Pangkor, Perak yang menggunakan lampu berkuasa tinggi turut memberi kesan buruk ke atas hidupan laut di perairan berkenaan
“Dalam tinjauan kita diberitahu oleh nelayan pantai yang terlibat masalah itu menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot mencecah 50 peratus setiap kali turun ke laut.
“Mereka mendakwa bot pukat tunda dan nelayan dari Pulau Pangkor, Perak kerap menjalankan aktiviti pada waktu malam.
“Banyak benih atau anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi mati dan musnah dan antara anak ikan yang menjadi mangsa ialah kembung, bawal hitam, jenahak, tenggiri serta anak sotong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohideen, CAP kesal dan bimbang dengan kejadian itu kerana gagal ditangani pihak berkuasa berkenaan walaupun banyak aduan dibuat oleh nelayan terbabit sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, CAP meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyiasat mengapa perkara tersebut boleh berlaku sehingga sekarang.
“Kita percaya jika keadaan itu dibiarkan bukan saja kehidupan nelayan pantai di situ terjejas dengan lebih teruk, malah sumber perikanan negara mungkin mengalami kepupusan pada masa akan datang.
“Ini kerana sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) di samping mencemarkan laut serta memusnahkan tempat pembiakan ikan,” katanya.
Demi menyelamatkan sumber bekalan makanan dan masa depan sektor perikanan tegas beliau, CAP berharap Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan berkesan dan menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda dan lampu berkuasa tinggi (spot light) di negara ini dengan segera. – UTUSAN ONLINE