MELAKA: Keperluan menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Selasa ini menyebabkan Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 perlu dilaksana awal pagi tadi.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau kesuntukan masa memandangkan perlu perbincangan yang mendalam dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sebagai persediaan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang turut dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Katanya, situasi itu memaksa majlis angkat sumpah diadakan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pukul 1 petang hari ini.
“Jadi masa yang agak suntuk, memandangkan esok Ahad dan banyak perkara yang perlu saya bincangkan bersama Tuan Yang Terutama Tun (Mohd. Ali).
“Selain itu banyak yang perlu dipersiapkan. Jadi mahu atau tidak kita kena juga angkat sumpah pada malam ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada pukul 12.58 tengah malam tadi.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu dilakukan di hadapan Mohd. Ali selepas Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar 21 kerusi.
Yang hadir sama isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman. – UTUSAN ONLINE