Anggota PGA jatuh bot ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Anggota PGA jatuh bot ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat anggota PGA yang ditemukan lemas ketika memancing di perairan Lekir dekat Lumut hari ini. - UTUSAN/JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilaporkan terjatuh daripada bot ketika memancing di perairan Lekir malam tadi, ditemui mati lemas pagi ini.

Mangsa, Nurman Hafiz Nordin, 35, yang bertugas di Batalion Empat PGA Semenyih di Selangor, ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh pada pukul 8 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol, berkata mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan tempatan di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebelum ini mangsa bersama abang dan anak saudaranya menaiki sebuah bot bagi menangkap ikan di kawasan perairan Batu 8 Lekir, dekat sini.

“Mangsa bagaimanapun dilaporkan terjatuh apabila bot yang dinaiki berpusing ketika dalam perjalanan balik ke Pelantar Ikan Batu 8 Lekir pada jarak kira-kira 1.8 kilometer dari jeti tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan itu, menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Sitiawan dibantu BBP Seri Manjung melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus laporan diterima pada pukul 8.09 malam.

Beliau memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi itu yang diketuainya tamat pada pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, difahamkan mangsa pulang bercuti di kampung dan pergi menangkap ikan bersama abangnya berusia 43 tahun dan anak perempuan abangnya berusia 11 tahun sebelum bot dinaiki mereka dikatakan bergoyang kemungkinan terlanggar sesuatu atau akibat alunan ombak. 

“Mangsa dan abangnya terjatuh ke dalam laut tetapi abangnya berjaya naik semula ke bot, manakala mangsa pula hilang,” katanya.

Menurut Mohd Zaki, abang mangsa cuba mencarinya tetapi gagal dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya