Anggota PGA, dua rakan didakwa seludup warga Thailand - Utusan Malaysia

Anggota PGA, dua rakan didakwa seludup warga Thailand

ANGGOTA polis membawa ketiga-tiga tertuduh ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama dua lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyeludup lima wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), awal bulan lalu.

Tertuduh, Muhd. Nor Hafifi Khanapiah 33, yang berpangkat koperal didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama dua rakannya, Mohd. Azhar Mohammad, 28 dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Badrul Munir Mohd. Hamdy, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan semasa proses tersebut berjalan.

Mengikut pertuduhan, mereka bertiga didakwa menyeludup masuk lima wanita warga Thailand, Yuyanee Yusoh, Nuriyah Mama, Romlah Saa, Haleemoh Chairesai dan Rorpee-Ah Dorloh semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada pukul 10 malam, 6 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 20A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun, atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala Muhammad Rahmat Muhammad diwakili peguambela Shaharuddin Mohamed. Muhd. Nor Hafifi Khanapiah dan Mohd. Azhar Mohammad pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk memanggil kesemua migran terbabit bagi tujuan merekodkan keterangan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, cubaan seorang anggota polis berpangkat koperal menyeludup PATI untuk dijadikan pekerja restoran gagal apabila dia diberkas bersama dua rakannya di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Kegiatan mereka sebagai transporter terbongkar selepas anggota polis yang menjalankan rondaan sebelum menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Siasatan mendapati, anggota PGA itu mengambil PATI dari pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dibawa bekerja di kedai makan di Selangor dan dipercayai menyewa MPV tersebut pada kadar RM450 sehari untuk melakukan aktiviti tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN