SIK: Seorang anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak cedera akibat dipatuk seekor ular kapak pada tangan kanan ketika sedang melakukan operasi di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, dekat sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.47 petang.
Katanya, ketua operasi PGA memaklumkan mangsa berusia 38 tahun tidak dapat dibawa turun dari kawasan tersebut kerana keadaan muka bumi bercerun dan berbukit.
“Lokasi kejadian berada pada paras 500 meter dari aras laut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik kemudian memulakan operasi ke lokasi mangsa pada pukul 6.40 petang.
“Seramai lima pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua anggota Batalion 18 PGA turut menyertai operasi menyelamat tersebut,” ujarnya.
Katanya, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam membawa turun mangsa.
“Mangsa selamat dibawa turun pada pukul 12.37 tengah malam dan dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera EMRS BBP Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE