'Anak saya tak nak belajar, tengok telefon (telefon bimbit) sahaja' - Utusan Malaysia

‘Anak saya tak nak belajar, tengok telefon (telefon bimbit) sahaja’

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Anak saya tak nak belajar, tengok telefon (telefon bimbit) sahaja. Saya perlu menjaga anak-anak dan ibu bapa kerana isteri sudah meninggalkan saya”.

Demikian rayuan bapa sembilan anak sebelum Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadapnya kerana mengetuk kaki kiri anak perempuannya berusia 10 tahun menggunakan telefon bimbit.

Hakim Mahyon Talib turut memerintahkan lelaki berusia 39 tahun itu menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda. Denda itu dijelaskan.

Mahkamah turut menasihati tertuduh agar tidak mengulanginya kerana kesalahan tersebut serius.

Tertuduh juga mengaku bersalah memukul kepala mangsa dengan penyapu serta memulas tangan kanannya ke belakang sehingga lebam di sebuah rumah di Setapak di sini pada pukul 12 tengah hari, 8 November lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman penjara terhadap tertuduh kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi mangsa bukan mencederakannya.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah diketuk di bahagian kaki kirinya dengan telefon bimbit dan dipukul di kepala menggunakan batang penyapu oleh bapanya.

Selain itu, tertuduh telah memusingkan tangan kanan mangsa ke belakang.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami lebam di tangan kanan dan kaki kiri serta kesan lecetan di kepala akibat tindakan tertuduh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN