Anak peniaga terima empat anugerah sempena Konvokesyen UPSI

Anak peniaga terima empat anugerah sempena Konvokesyen UPSI

MUHAMMAD Nur Azam Ghazali (kiri) dan Chu Wei Wei menunjukkan Anugerah Pelajaran Diraja yang mereka terima sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 UPSI  di Tanjung Malim, Perak, semalam. - FOTO/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak Dengan Kepujian, Muhammad Nur Azam Ghazali mencipta sejarah apabila meraih empat anugerah pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.  

Berasal dari Kampung Permatang Pasir, Bachok, Kelantan, Muhammad Nur Azam, 25, bersyukur apabila terpilih antara 4,009 graduan yang menerima kurnia anugerah yang disampaikan oleh Canselor Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada sesi pertama istiadat konvokesyen semalam.  

Selain Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Nur Azam turut menerima Hadiah Buku Fakulti Pembangunan Manusia, Anugerah Buku Adni dan Anugerah Khas Adni.

Anak sulung lelaki dalam keluarga dan yang keempat daripada sembilan beradik itu berkata, dia kematian bapanya pada 2019 yang mencetuskan impian untuk dia mengubah nasib keluarga apabila melanjutkan pengajian di universiti.  

Menurut Muhammad Nur Azam, doa ibunya, Jaina Yusoff, 56, seorang peniaga pasar di Pasar Jelawat, Bachok yang tidak pernah putus memberi kekuatan kepadanya untuk tekun sepanjang pengajian.

Katanya, dia percaya melalui saluran pendidikan dapat mengubah nasib bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga nasib keluarga.

“Sebagai anak keempat daripada sembilan orang adik-beradik, saya perlu lekas sedar pendapatan ibu sebagai peniaga kecil-kecilan di pasar tidaklah sebesar mana, lebih-lebih lagi selepas pemergian bapa yang meninggal dunia pada tahun 2019,” katanya. 

Menurutnya, ketika belajar dan menjalankan tanggungjawab sebagai Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, dia  pernah tertidur di dalam kelas kerana terlalu penat.

Muhammad Nur Azam kini merupakan pensyarah di sebuah kolej di Kota Bharu dan dalam masa yang sama, sedang melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak di universiti yang sama, meraih PNGK 3.94. 

Menurutnya, selain keutamaan kepada akademik dia perlu menjadi pelajar yang holistik.

“Selain aktif dalam bidang akademik aktif, sumbangan kepada masyarakat melalui penglibatan program aktiviti sukarelawan, kepimpinan, kerohanian dan sosio ekonomi yang dianjurkan pada peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa perlu dititik beratkan,” katanya. 

Dia yang berazam menjadi pensyarah dan menguasai bidang psikologi kanak-kanak berkesempatan ke Korea, China, Indonesia dan Thailand untuk program kepemimpinan dan kesukarelawanan semasa belajar.

Sementara itu, anak pekerja kedai kopi, Chu Wei Wei, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) Dengan Kepujian turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Graduan yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang itu teruja dan gembira selepas terpilih menerima anugerah tersebut dan berterima kasih kepada kedua orang tuanya yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Saya tetap  diberikan didikan yang sempurna walaupun ayah hanya bekerja sebagai pembantu kedai kopi manakala ibu saya membantu bapa dengan bekerja di gedung pakaian. 

“Para pensyarah universiti serta rakan-rakan turut sama banyak memberi galakan untuk saya terus berusaha mencapai kejayaan. Anugerah yang saya terima ini memberikan motivasi kepada diri saya untuk terus berusaha pada masa depan,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff  menyatakan rasa kagum dan bangga dengan pencapaian dua graduan yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-22 UPSI semalam.

“Mereka boleh dijadikan contoh kepada mahasiswa untuk bangkit dan proaktif semasa pengajian sehingga meraih pelbagai hadiah dan anugerah, sekali gus mengharumkan nama UPSI,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya