TELUK INTAN: Anak kepada pasangan suami isteri yang pernah bekerja di Istana Raja Muda Perak ketika itu, Raja Muda Musa Abdul Aziz, sebak melihat keadaan istana itu yang terbiar.
Ismail Ahmad, 62, berkata, bapanya Ahmad Yunus bekerja sebagai pemandu kepada Raja Muda Musa manakala emaknya, Latifah Omar Ali bekerja sebagai tukang masak di istana itu.
Bapanya telah meninggal dunia pada tahun 1994 manakala ibunya meninggal dunia pada tahun 2014.
Menurut Ahmad, ibu dan bapanya mula bekerja di istana itu sekitar tahun 1940-an dan tidak lagi berkhidmat di istana itu apabila Raja Muda Musa mangkat pada tahun 1983.
“Saya tinggal bersama ibu bapa yang bekerja di istana, malah, saya dan empat lagi adik beradik saya, kami semuanya lelaki dilahirkan dalam kawasan istana ini iaitu di rumah yang disediakan khas untuk pekerja di istana ini, ” kataya ketika ditemui Utusan Malaysia ketika melawat istana itu di sini semalam.
Katanya, dia masih ingat ketika bapanya bekerja sebagai pemandu kepada Raja Muda Perak ketika itu.
“Jika tuanku tiada urusan rasmi, bapa akan membasuh kereta rasmi tuanku di dalam kawasan istana ini.
“Sebagai tukang masak, emak memastikan semua keperluan barang dapur mencukupi,” katanya.
Ahmad menceritakan, dahulu istana itu sangat cantik, di sekelilingnya terdapat sebuah taman bunga dan pelbagai spesies burung malah terdapat kandang kuda.
Menurutnya, dia sebak melihat keadaan istana itu hari ini yang terbiar malah lebih menyedihkan istana lama itu hendak dijual.
Katanya, namun dia lega apabila kerajaan negeri menangguhkan cadangan untuk menjual istana lama itu.
“Saya berharap istana ini tidak dijual. Secara peribadi kerana istana ini mempunyai sejarah dan kenangan buat saya.
“Namun lebih penting istana ini adalah lambang kesultanan Melayu yang perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan istana lama yang terletak di Jalan Syed Abu Bakar di sini dibuka untuk jualan secara tender terbuka. Dibina sekitar tahun 1922, istana itu merupakan istana rasmi Raja Muda Perak.
Bangunan yang pernah menjadi kediaman rasmi Raja Muda Perak bersama kawasan seluas sekitar dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.
Pada 22 September lalu, kerajaan negeri mengumumkan menangguhkan pelaksanaan proses tender penjualan tapak bekas istana itu.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata, ia bagi membolehkan beberapa kajian terperinci berkaitan tapak itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan bantahan beberapa pihak.-UTUSAN ONLINE