GURUN: Mangsa yang maut dikelar anak sendiri dalam kejadian bunuh di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang di sini sebelum ini sering dinasihatkan oleh suaminya supaya berhati-hati dengan tingkah laku anak mereka itu kerana sering bergaduh membabitkan wang untuk membeli dadah.
Suami mangsa, Mohd. Saad Din, 80, berkata, sejak berkahwin dengan Sarah Jon, 70, lebih kurang 10 tahun lalu, anak tirinya itu kerap bergaduh dengan ibunya dan dia bertindak menenangkan kedua-dua beranak itu.
“Dia (suspek) selalu meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah dan jika tidak diberi dia akan mengamuk termasuk merosakkan pelbagai barangan rumah.
“Sebelum ini saya telah beberapa kali mengingatkan isteri supaya berwaspada dengan tindak-tanduknya dan hari ini ingatan saya itu menjadi kenyataan apabila maut dikelar anak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Sarah dikelar anak kandungnya sendiri yang berusia 31 tahun menggunakan senjata dipercayai pisau tumpul selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Suspek yang merupakan penagih dadah selain mempunyai rekod sakit mental dan jenayah kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave 100 dan kemudian ditemukan maut selepas dilanggar sebuah lori tangki di Jalan Gurun-Jeniang, kira-kira satu kilometer dari rumahnya pada pukul 7.30 pagi.
Sarah yang merupakan penoreh getah ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah dengan kesan kelar di leher sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter selain kecederaan pada tangan kanan dan telinga kiri untuk mempertahankan diri.
Menurut Mohd. Saad, dia tinggal seorang diri di Taman Lembah Bujang di Merbok manakala isterinya tinggal bersama anak tirinya di kampung berkenaan.
Jelasnya, dia hanya pulang ke rumah dua hari sekali untuk menghantar makanan dan keperluan harian isterinya.
“Hubungan saya dengan anak tiri itu tidak baik kerana saya sering memarahinya kerana tidak mahu bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.
“Saya juga sering memarahi isteri kerana dia selalu mengikut kemahuan anaknya itu walaupun pendapatannya sebagai penoreh getah tidak seberapa,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya percaya berlaku pertengkaran antara dua beranak tersebut sebelum suspek bertindak di luar kawalan dengan mengelar leher ibunya dengan senjata dipercayai pisau tumpul.
“Mayat mangsa ditemui dengan kesan kelar pada leher sepanjang 12.7 sentimeter serta kecederaan lain pada tangan kanan dan telinga kiri dipercayai semasa mempertahankan diri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan pecah masuk rumah selain menemui baki dadah jenis syabu dan peralatan menghisap dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Kata beliau, pihaknya pada masa sama iaitu kira-kira pukul 7.30 pagi menerima laporan satu kemalangan maut di Jalan Gurun-Jeniang melibatkan suspek.
“Berdasarkan saksi, kita percaya suspek meletakkan motosikalnya di tepi jalan sebelum menerpa ke tengah jalan ketika laluan itu dilalui sebuah lori tangki yang sedang bergerak laju,” ujarnya.
Ketika ditanya kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah, beliau tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan penemuan baki syabu dan peralatan menghisap dadah di tepi pintu masuk rumah.
“Suspek yang merupakan penganggur dan belum berkahwin itu mungkin mengambil dadah di hadapan ibunya kerana mungkin tahu ibunya tidak boleh marah disebabkan faktor usia,” ujarnya.
Tambahnya, hasil semakan dengan saudara mara mangsa mendapati suspek mempunya rekod mental selain memang ada masalah dadah dengan enam rekod jenayah termasuk dadah. – UTUSAN