Anak angkat pemilik Rumah Bonda diserah kepada ibu kandung - Utusan Malaysia

Anak angkat pemilik Rumah Bonda diserah kepada ibu kandung

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Juvenil di sini hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada ibu kandungnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Nurainie Haziqah Shafi’i yang mewakili ibu kandung kanak-kanak berusia dua tahun itu selepas prosiding kes di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

“Selepas meneliti laporan yang disediakan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan semula kepada ibu kandungnya.

“Meskipun hak penjagaan itu diberikan, ibu kanak-kanak itu terikat dengan tempoh pengawasan pihak JKM selama tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan tempoh pengawasan dua tahun yang diperintahkan mahkamah, peguam itu berkata ia bermakna pihak JKM pada bila-bila masa boleh membuat pemeriksaan mengejut terhadap ibu kandung tersebut.

Dalam pada itu seorang lagi peguam yang mewakili ibu kandung tersebut, Muhammad Hafiz Hood berkata, pendengaran bagi permohonan Siti Bainun dan dua lagi ibu kandung bagi mendapatkan hak penjagaan penuh tiga lagi kanak-kanak di bawah jagaan JKM akan didengar pada 16 November ini.

Pada prosiding tersebut, Siti Bainun diwakili peguam Nur A’minahtul Mardiah Mohd Nor.

Pada 28 Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat Siti Bainun diserahkan kepada JKM.

Ia berikutan mahkamah menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut.

Siti Bainun, 29,  dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan tersebut pada 2 Ogos lalu dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut juga bagi pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30(10) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN