PUTRAJAYA: Selepas 60 tahun beroperasi di ibu negara, Ajinomoto (Malaysia) Berhad bakal berpindah ke kilang baharu yang lebih moden dan luas di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Berita tersebut juga disahkan oleh Ketua Pegawai Pengeluarannya, Azhan Mohamed ketika ditemui Utusan Malaysia pada penutup Persidangan Halal Kebangsaan 2021 di sini hari ini.
“Insya-Allah, kami mula berpindah ke sana pada tahun depan dengan melibatkan semua 650 pekerja kilang lama di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang dibuka sejak 1961,” katanya.
Terdahulu, Azhan hadir mewakili syarikat produk makanan usahasama Jepun tersebut menerima Anugerah Sistem Pengurusan Halal Malaysia Terbaik 2021 untuk kategori industri besar.
Beliau turut menjadi antara empat ahli panel Diskusi Petang bertajuk ‘Industri Halal Menyatu Keluarga Malaysia’ yang dikendalikan oleh Pengacara Program MyHalal TV1, Azrin Md. Isa.
Ajinomoto mula dianugerahkan pensijilan halal pada 1965 lalu, iaitu lima tahun sebelum Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia bermesyuarat kali pertama mengenai isu tersebut.
Mengulas lanjut, Azhan bagaimanapun tidak menyatakan rasional pemindahan kilang tersebut tetapi difahamkan ia lebih keperluan semasa dan tapak selesa bagi pengeluaran produknya.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana jenama Ajinomoto masih unggul dalam kalangan rakyat Malaysia dan turut diyakini kerana pematuhan standard halal yang amat ketat,” jelasnya.
Malahan, beliau bersyukur kerana produk berkenaan mampu dipasarkan ke 36 buah negara yang sekali gus membawa imej positif halal Malaysia juga diiktiraf ke peringkat antarabangsa.
Syarikat itu turut mempunyai pejabat penyelaras jualan di Jeddah, Arab Saudi yang memberi tumpuan utama kepada pasaran besar negara Islam di rantau Asia Barat dan Afrika Utara. – UTUSAN