KLANG: Penduduk di Pulau Ketam di sini melahirkan kebimbangan terhadap fenomena air laut pasang besar yang melanda kawasan itu dan menyifatkannya semakin lama paras air semakin tinggi.
Malah ada yang menyifatkan peningkatan paras air laut itu mempunyai kaitan dengan perubahan iklim apabila rumah dan laluan pejalan kaki ditinggikan sebelum ini kembali digenangi air apabila fenomena tersebut berlaku.
Kebimbangan itu dikongsikan Chua Kek Sing, 48, kepada Utusan Malaysia yang memaklumkan terdapat beberapa buah rumah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini walaupun kejadian sama terjadi pada Oktober lalu.
“Air tidaklah masuk ke dalam rumah ibu mertua saya tidaklah terlalu tinggi cuma sekadar setengah kaki sahaja dan sebelum ini pun memang pasti masuk bila air laut pasang besar. Tetapi, saya agak terkejut apabila ada jiran yang maklum rumah mereka tidak pernah kena, tiba-tiba kali ini air naik.
“Saya rasa pasti ada kaitan dengan perubahan iklim dan dapat lihat paras air laut semakin lama semakin meningkat. Keadaan itu boleh dilihat bila air pasang besar. Akan datang mungkin lebih banyak rumah perlu ditinggikan untuk elak daripada tenggelam,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan fenomena air laut pasang besar berulang kembali selama empat hari bermula Khamis lalu sehingga hari ini dan paras air dilaporkan mencecah sehingga 5.6 meter selama dua hari, Jumaat dan Sabtu.
Situasi sedemikian menyebabkan beberapa jalan utama kawasan perumahan terletak berhampiran sungai dan pantai terutama di Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam ditenggelami air masin.
Perasaan sama turut diluahkan seorang lagi penduduk warga emas, Cha Bong Kuang, 75, memberitahu dalam tempoh 40 tahun, kejadian air pasang kali ini adalah paling tinggi apabila rumahnya dimasuki air hampir dua kaki.
“Saya memang asal sini dan tinggal di rumah ini hampir 30 tahun. Air laut pasang besar pun biasa berlaku setiap tahun. Kalau ikut kalendar luna, setiap tahun fenomena ini akan berlaku sama ada pada bulan 3 atau 4 dan bulan 9 atau 10.
“Kami memang tidak sangka selama dua hari sejak semalam, air laut naik agak tinggi berbanding sebelum ini. Mujur sempat pindahkan barang ke tempat tinggi. Selain itu pernah juga haiwan berbisa seperti ular masuk ke rumah ketika air pasang, tetapi kali ini nasib baik tak ada,” ujarnya. – UTUSAN