PUTRAJAYA: Desas-desus isu peletakan jawatan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akhirnya terjawab.
Beliau hari ini dilantik sebagai Setiausaha Kebudayaan Pejabat Menteri Luar, malahan berita tersebut diumumkan sendiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra di sini.
Uniknya, seorang lagi penggiat seni terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof turut dilantik sebagai Perunding Kreatif di pejabat berkenaan yang kedua-duanya berkuat kuasa serentak hari ini.
“Pelantikan mereka juga selaras dengan objektif untuk membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Negeri,” jelas Saifuddin pada sidang akhbar khasnya.
Inisiatif itu bagi mewujudkan kaedah baharu yang mempamerkan jati diri dan nilai kebangsaan kita selain memaparkan kepelbagaian budaya serta menggalakkan pertukaran kebudayaan.
Justeru ujarnya, untuk mempromosikan diplomasi budaya, beliau menubuhkan Jawatankuasa Seni dan Budaya (Arca) di bawah pejabat menteri sebagai saluran berkesan di seluruh dunia.
Ahmad Idham, 47, yang berasal dari Alor Setar, Kedah menggemparkan dunia seni tanah air apabila berundur mengejut dari Finas pada 9 September lalu setelah 15 bulan berkhidmat.
Media tempatan waktu tersebut melaporkan pengarah itu bakal berhijrah menjadi diplomat di sebuah kementerian untuk misi khas mempopularkan budaya negara di peringkat sejagat.
“Insya Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman semasa di Finas kerana ini memang impian saya bagi menggerakkan kebudayaan negara di persada antarabangsa,” katanya.
Dalam nada optimis, beliau berazam mengantarabangsakan produk tempatan malah dengan jujur berkata, semangatnya berkobar-kobar dan tidak sabar mengangkat imej bakat Malaysia.
Sementara itu, Eizlan, 50, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, diplomasi budaya tidak sahaja meliputi filem, bahkan muzik, arca dan pelbagai seni warisan negara yang ada nilai global.
Sambil berterima kasih atas kepercayaan menteri berkenaan, beliau memberi contoh banyak kebudayaan tanah air boleh diketengahkan terutama di premis kedutaan Malaysia di luar negara.
“Saya berharap dapat menjalankan segala peluang dan ruang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin serta tidak meminggirkan karya terbaik anak bangsa untuk tatapan global,” katanya.
Saifuddin dalam pada itu menjelaskan, idea diplomasi budaya tercetus ketika menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini apabila pernah ditanya wartawan Utusan Malaysia.
Ketika itu, beliau disoal mengenai kerjasama kementerian dengan Wisma Putra bagi usaha mempromosikan lagi kebudayaan Malaysia terutama di kedutaan yang agak kurang menyerlah.
Pada masa itu, isu tersebut turut dibangkitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan mereka berhasrat mahu mengadakan pelbagai kerjasama melibatkan pihak Wisma Putra.
“Kebetulan kini saya berada di sini dan idea itu kembali sewaktu melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia, saya terkejut Bilik Malaysia yang besar hanya diisi separuh,” katanya.
Situasi itu ujarnya, jauh beza negara lain yang penuh produk kebudayaan mereka dan beliau mengambil contoh kejayaan Korea Selatan dalam diplomasi budaya dibuat lebih 20 tahun lalu.
Hasilnya terbukti apabila filem Parasite katanya, meraih banyak anugerah di seluruh dunia selain mempromosikan budaya popular negara itu dalam bidang makanan, drama dan tarian.
Usaha itu tegasnya, diambil daripada contoh Libya yang suatu ketika dahulu disegani dunia menerusi filem epik Lion of the Desert dan The Message yang mengangkat imej negara itu. -UTUSAN ONLINE