Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Muslifah, J J Raj  - Utusan Malaysia

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Muslifah, J J Raj 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli yang meninggal dunia hari ini. 

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham selain menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Muslifah sabar dan tabah menghadapi dugaan, suasana sedih serta pilu itu.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada negara,” titah Seri Paduka berdua seperti disiarkan dalam laman Facebook Istana Negara.

Arena sukan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Muslifah yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Muslifah antara penembak yang berada lama dalam program latihan kebangsaan dan tersenarai untuk Program Podium dari 2015 hingga 2017. 

Allahyarham memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dalam 50 meter rifle prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim. 

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri J J Raj (Jr) yang meninggal dunia hari ini. 

“Seri Paduka amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada PDRM dan negara.

“Seri Paduka berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada PDRM dan negara,” titah Seri Paduka berdua.

Terdahulu, mendiang yang berusia 100 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya pada jam 1.55 pagi tadi selepas mengalami masalah jantung ‘cardiac arrhythmia’.

Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 1950.

Pada tahun 1974 mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya