KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri Di Bawah Naungan Seri Paduka di Istana Negara.
Majlis Munaqasyah keempat itu bertujuan membincang dan memperhalusi isu hal ehwal Islam di negeri di bawah naungan Seri Paduka dan memantapkan agensi agama di setiap negeri berkenaan.
Negeri di bawah naungan Seri Paduka ialah Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat enam kertas kerja dipersembah kepada Seri Paduka dan rumusan daripada pembentangan kertas-kertas kerja itu akan dikemukakan oleh Seri Paduka ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang Ke-257 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 November ini.
Majlis itu dianjurkan bersama antara Istana Negara dan Jakim dengan kali pertama pada 20 Jun 2019 diikuti kali kedua pada 7 Oktober 2019 dan kali ketiga pada 6 Februari 2020. – UTUSAN ONLINE