PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia.
Katanya, menerusi pelaksanaan ANMS, ia mampu dijadikan sebagai persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia menghadapi fasa endemik Covid-19.
“ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejateraan dan kesihatan Keluarga Malaysia.
“Agenda ini berusaha menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat,” katanya ketika melancarkan ANMS yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pagi tadi.
ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai tahun 2021 hingga tahun 2030 dengan dibahagikan kepada dua penggal.
Penggal pertama bermula pada tahun ini sehingga 2025 manakala penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir 2030.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, ANMS adalah pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang seterusnya diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai penggerak utama dengan membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – UTUSAN ONLINE