KUALA TERENGGANU: Hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mencipta kelainan apabila kalangan wakil rakyat memakai baju batik.
Saranan berbaju batik itu diikuti kesemua 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas termasuk ADUN Wanita di samping tujuh ADUN UMNO.
Turut mengenakan pakaian sama, ialah ketua-ketua jabatan.
Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali berkata, pembaharuan itu selaras dengan amalan di peringkat Parlimen sekali gus dapat mempromosikan lagi batik Terengganu kepada orang ramai.
Katanya, sebelum ini DUN Terengganu turut membenarkan pemakaian kolar Mandarin selain baju Melayu dan sut.
“Pembaharuan dari segi pemakaian ini bersesuaian dengan status Terengganu sebagai pengeluar batik utama di Malaysia.
“Malah, usaha ini tepat pada masanya kerana sekurang-kurangnya dapat membantu pihak industri terutama para peniaga bangkit semula dalam tempoh Covid-19 yang mencabar,” katanya kepada pemberita selepas sidang berkenaan di sini hari ini.
Yahaya berkata, pihaknya turut menerima pandangan agar pakaian batik itu diseragamkan rekaannya dalam kalangan ADUN.