89.90 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

PRN Melaka: 89.90 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

ANGGOTA tentera beratur seawal jam 8 pagi pada hari mengundi awal sempena PRN Melaka di Sekolah Kebangsaan Terendak 2, Melaka, semalam. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 89.90 peratus atau 10,390 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka adalah terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis. 

“Proses undi awal ini telah berlangsung dengan lancar dengan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara yang berkuat kuasa.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan dan media.

“Selain itu semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proses pengundian awal PRN Melaka melibatkan 31 lokasi di seluruh negeri ini bermula pada pukul 8 pagi tadi.

Sepanjang undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara akan dilaksanakan ketika proses itu berlangsung.

Ia seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

Sebelum ini, SPR menetapkan tarikh 8 November sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya