8,733 anggota, pegawai PDRM terima dos penggalak setakat ini - Utusan Malaysia

8,733 anggota, pegawai PDRM terima dos penggalak setakat ini

MAZLAN Lazim beramah mesra dengan seorang pesara PDRM, Rosmadi Mohamad pada majlis penyampaian bantuan zakat kepada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 8,733 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara ketika ini sudah menerima dos penggalak (booster) Covid-19 setakat ini. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu merangkumi kira-kira 7.6 peratus daripada keseluruhan 106,352 anggota dan pegawai PDRM. 

Menurut beliau, PDRM sentiasa menggalakkan anggotanya mengambil vaksin Covid-19 termasuk suntikan penggalak dalam melindungi diri mereka dan setakat ini tiada kes anggota dan pegawai pihak berkuasa berkenaan yang menolak suntikan vaksin tersebut.

“Kita juga sedang menunggu giliran daripada Kementerian Kesihatan untuk anggota dan pegawai yang masih belum menerima dos penggalak ini menerima suntikan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan zakat kepada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini hari ini.

Dalam majlis itu seramai 40 orang masing-masing sembilan asnaf; dua balu; 20 pesara dan sembilan mualaf menerima sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200. 

Dalam perkembangan lain, Mazlan memaklumkan sebuah ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang yang baharu akan dibina di daerah Timur Laut di sini. 

Jelasnya, pembinaan IPK baharu yang dijangka menelan kos sebanyak RM300 juta itu sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kini dalam proses pemberian tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

“Pembinaan IPK baharu dengan 200 unit rumah anggota dan pegawai PDRM yang lengkap dengan pelbagai kemudahan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota kita apatah lagi dalam situasi di Pulau Pinang yang mana kos sewa rumah adalah tinggi jika dibandingkan dengan elaun rumah yang diterima mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya