800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang 2025 - Utusan Malaysia

800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang 2025

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) merupakan agenda besar negara yang menyasarkan 800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 1,083 PEDi akan digerakkan untuk melahir dan memperkasakan usahawan kecil di luar bandar dan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR). 

Tegasnya, ekonomi digital adalah instrumen untuk negara menuju ke arah usaha pemulihan dan menjamin ketahanan masa depan ekonomi Malaysia pasca Covid-19. 

Menurutnya, sebagai sebuah pusat sehenti, setiap PEDi akan dilengkapi akses, perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih dan pakar teknologi.

“Tenaga pakar ini untuk memberi perkhidmatan dan sokongan serta program keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti setempat agar mesra terhadap ekonomi digital,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran PEDi yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar di sini hari ini.

Annuar dalam pada itu menegaskan, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan tonggak ekonomi negara.

“Kerajaan menyediakan galakan untuk memodenkan perniagaan dengan menerima guna teknologi termaju dan pendigitalan dan seterusnya membuka peluang kepada usahawan PMKS untuk meneroka pasaran dunia,” katanya. 

Tegasnya, dalan usaha memperkasakan usahawan luar bandar, PEDi akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil  yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama usahawan kecil dan swasta.

Tambah beliau, kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM30 sehingga RM40 juta melalui SKMM untuk disalurkan kepada PEDi yang menganjurkan program, kursus serta program am anjuran kementerian.

“Pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehanpasaran produk dan khidmat dalam strategi penjenamaan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, seramai 600 Rakan Digital akan dilantik untuk menjalankan program yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang disokong Ikon Usahawan PEDi iaitu usahawan kecil yang berjaya.

“Kerajaan yakin usaha ini dapat merapatkan jurang digital sekali gus mencetus inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya