LUMUT: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima 77 laporan polis daripada individu yang enggan menerima vaksin Covid-19 sehingga 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sebahagian besar daripada individu terlibat memberi alasan faktor agama iaitu meragui kandungan atau status halal vaksin tersebut.
“Ada juga yang memberi alasan bimbang terhadap kesan dan implikasi vaksin tersebut terhadap tubuh atau kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Erat Kasih Prihatin anjuran Rumah Ngaji Teluk Muroh dan Mercy Malaysia Perak Chapter di IPD Manjung, Seri Manjung, hari ini.
Dalam program itu, pertubuhan terlibat menyumbang kotak makanan kepada 17 anggota polis dan pegawai awam IPD Manjung yang selesai menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Mercy Malaysia Perak Chapter, Dr. Dzulkarnaen Ismail dan Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie.
Menurut Nor Omar, semua laporan itu kemudian dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan untuk rekod dan rujukan.
Jelas beliau, polis hanya menerima laporan yang dibuat individu tersebut dan menyerahkannya kepada kementerian terlibat manakala pihaknya pula tidak mengambil tindakan lanjut terhadap mereka.
Beliau juga memberitahu semua pegawai dan anggota IPD Manjung sudah menerima dua dos vaksin dengan ada yang sudah mengambil dos penggalak termasuk dirinya.
Jelasnya, vaksin itu penting sebagai benteng dan ikhtiar melawan Covid-19 selain membantu mengurangkan risiko sakit kronik atau kematian apabila dijangkiti virus tersebut.
Dalam pada itu menurutnya, polis mengeluarkan lebih 10 kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap pengunjung di Pulau Pangkor dalam operasi baru-baru ini.
Nor Omar kesal masih ada segelintir individu yang tidak mematuhi SOP seperti tidak mengimbas aplikasi MySejahtera yang juga menjadi antara kesalahan paling banyak dilakukan pengunjung kerana sikap ambil mudah dan sambil lewa mereka.