Seluas 5,849 hektar sawah di Kedah ditenggelami banjir

5,849 hektar sawah di Kedah ditenggelami banjir

SEBAHAGIAN daripada kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir di negeri ini, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapati seluas 5,849 hektar sawah ditenggelami banjir dan fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, angka itu diperoleh selepas pihaknya mengadakan bancian terhadap petani  terjejas di kawasan tersebut.

Menurutnya, jumlah kawasan yang terlibat dijangka meningkat selepas ini memandangkan bancian tersebut akan diteruskan di kawasan-kawasan lain yang masih terjejas.

“Hasil bancian kerosakan sawah pada itu akan dikemukakan kepada Kementerian Perindustrian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bagi mendapatkan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi.

“Berdasarkan rekod kedudukan takungan air di empangan-empangan MADA hari ini, keadaan dilihat berada pada paras terkawal iaitu Empangan Pedu 95.9 peratus, Empangan Muda 102.8 peratus dan Empangan Ahning 98.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain baru-baru ini yang menyuarakan kebimbangan petani terhadap kemungkinan kemusnahan anak-anak pokok padi yang diusahakan berikutan bencana banjir tersebut.

Menurut Che Ani, keadaan itu secara tidak langsung akan mendatangkan kerugian besar kepada petani hingga mencecah RM150 serelung dan keadaan itu amat membebankan golongan berkenaan.

Mengulas lanjut Ahmad Tarmizi berkata, kejadian banjir itu berlaku berikutan hujan lebat bermula 17 Oktober 2021 hingga 2 November 2021 dengan turunan hujan antara 157 milimeter (mm) hingga 331 mm di kawasan dataran mengakibatkan aliran air yang tinggi.

“Ini diikuti dengan berlakunya fenomena air pasang besar menyebabkan kenaikan paras air laut pada 4 hingga 7 November.

“Disebabkan kejadian itu, mungkin ada dalam kalangan petani yang perlu melakukan penanaman semula. Semakan MADA mendapati bekalan benih padi sah kini mencukupi untuk menampung keperluan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya