PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan pertambahan tujuh kluster baharu selepas semalam, mencatatkan tiga kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tujuh kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 252 kluster.
“Selain itu, 5,598 kluster yang telah tamat direkodkan, manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,850 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 5,413 kes berbanding semalam, 5,143 kes sekali gus diatasi 6,013 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 545 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 264 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,413 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 102 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima. Bakinya, 5,311 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 53 kes berbanding kelmarin, 45 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,729 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 11 daripada 53 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,017 kes. – UTUSAN