BAYAN LEPAS: Kira-kira 500 penduduk Pintasan Kelicap di sini kesal dengan arahan mengalihkan tanaman yang diusahakan sejak 20 tahun lalu sekali gus mendesak campur tangan kerajaan negeri.
Mereka meluahkan perasaan kecewa dengan keputusan tersebut setelah masing-masing penduduk di 84 buah kediaman teres setingkat itu menerima dua notis daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertarikh 22 dan 29 Oktober lalu.
Terdahulu, kira-kira 30 penduduk berhimpun secara aman bagi membantah arahan pihak berkuasa tersebut dengan masing-masing memegang kad manila bertulis: ‘Kami merayu supaya tanaman tidak dimusnahkan’, ‘Kami kesal keputusan MBPP’ dan ‘Kami memohon simpati MBPP dan kerajaan negeri’.
Wakil penduduk, Hanani Hassan, 37, berkata, pihaknya merayu agar MBPP menarik balik notis arahan mengalihkan tanaman dan struktur tanpa kebenaran di bahu jalan berhadapan kediaman penduduk di situ.
Menurutnya, terdapat lebih 50 tanaman bermusim seperti pokok mempelam harum manis, jambu, ciku, belimbing serta pokok herba ditanam penduduk di situ sejak lebih 20 tahun lalu.
“Kami terkejut menerima dua notis berserta lampiran gambar yang meminta penduduk mengalih dan menebang pokok-pokok di situ dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
“Arahan yang diberikan tidak begitu jelas dan sepatutnya mereka (pihak berkuasa) turun padang dan bertemu penduduk di sini sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan.
“Kebanyakan penduduk di sini ialah warga emas dan mereka mengusahakan kebun tanaman sejak berpindah ke sini dan hasil tanaman dikongsi bersama komuniti. Kenapa baru sekarang hendak bertindak?” soalnya kepada pemberita di sini semalam.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dan Pegawai Penyelidiknya, N.V. Subbarow.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Samsudin Hussain, 80, memberitahu, tanaman yang diusahakan penduduk memberi pelbagai manfaat termasuk sebagai tempat berteduh, mengelak masalah debu dan habuk akibat pergerakan kenderaan di laluan utama.
“Tanaman hijau ini merupakan kelebihan bagi kami dan secara tidak langsung membangkitkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk berbilang bangsa,” katanya.