50 bas bawa penyokong setia JDT ke Bukit Jalil - Utusan Malaysia

50 bas bawa penyokong setia JDT ke Bukit Jalil

PENGENDALI JDT, Benjamin Mora (kanan) memantau anak-anak buahnya yang sedang menjalani latihan menjelang aksi akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 50 bas penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berkonvoi menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC, malam ini. 

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT atau Johor Fans Club, Azman A. Jalil berkata, kesemua bas tersebut akan berkumpul di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini sebelum bergerak pada pukul 10 pagi. 

Katanya, konvoi tersebut juga akan disertai persatuan penyokong JDT yang lain seperti Boys of Straits dan beberapa kelab penyokong yang lain.

Tambahnya, mereka tidak melepaskan peluang untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan yang berentap mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi musim 2019. 

“Kami dari kelab penyokong Johor Fans Club akan berkumpul di Stadium Larkin dan dijangka bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan penting buat JDT itu.

“Walaupun aksi final diadakan pada hari bekerja, namun para penyokong setia JDT sanggup berkorban bagi memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada Skuad Harimau Selatan. 

“Kami berharap JDT tidak berdepan masalah untuk muncul juara dan tidak pulang dengan tangan kosong. Apa-apa pun keputusannya, kami akan menjadi pemain ke-12 yang kuat memberi sokongan kepada JDT,” katanya. 

Azman berkata, dia yakin bahawa di daerah lain juga akan ada konvoi diadakan namun tidak dapat dipastikan berapa jumlah bas dan kenderaan lain yang terlibat.

Katanya, aktiviti itu menjadi satu kemestian buat kelab penyokong tersebut setiap kali skuad Harimau Selatan berentap di pentas final. 

“Peluang menyaksikan perlawanan akhir ini pastinya menjadi memori indah lebih-lebih lagi pada musim ini kebanyakan perlawanan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong di stadium,” ujarnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya