PRN Melaka: Undi tentera jadi sandaran bekas jeneral

PRN Melaka: Undi tentera jadi sandaran bekas jeneral

MOHD. Zahar Hashim percaya akan dapat sokongan majoriti daripada warga tentera dan veteran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MEJAR Jeneral (B) Datuk Mohd. Zahar Hashim, 63, bukan asing bagi penduduk di Sungai Udang terutamanya dalam kalangan warga tentera di situ. Anak jati Masjid Tanah ini sudah 40 tahun berkhidmat dalam angkatan tentera dan melalui banyak pengalaman semasa zaman insurgensi komunis dan dihantar dalam misi-misi antarabangsa di beberapa buah negara.

Sebelum bersara, beliau pernah mengetuai Kor Risik Diraja dan Task Force Perisai Wira Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Keputusan Presiden Kelab Veteran Kor Risik Malaysia (KVRM) ini mengejutkan ramai pihak.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Meor Harman Meor Shakri, Mohd. Zahar mengulas pandangan beliau tentang politik yang berlaku dan bercakap tentang peluang beliau dalam saingan merebut kerusi panas DUN Sungai Udang dalam pertandingan empat penjuru.

——————————————————————————————————————

Bagaimana Datuk melihat peluang bebas di Sungai Udang dan penerimaan pengundi?

MOHD. ZAHAR: Jumlah warga tentera di Kem Tentera Sungai Udang dan veteran-veteran tentera melebihi 50 peratus pengundi yang menetap di sini menyakinkan saya untuk mendapat kelebihan berbanding calon-calon lain yang bertanding di sini.

Ikatan persaudaraan ketenteraan di sini kuat. Prinsip kebersamaan itu ada dalam kalangan kami. Saya percaya mendapat sokongan majoriti daripada warga tentera dan veteran. Bagi pengundi bukan warga tentera (orang awam), saya juga percaya mereka juga akan bersama saya kerana kami telah lama bergaul dengan mereka. Ini yang membuat saya berasa yakin untuk memberi cabaran di sini. Lagipun pengalaman saya dalam tentera selama 40 tahun boleh dijadikan sandaran dalam mencapai matlamat ini.

Apa yang mendorong Datuk untuk bertanding di Sungai Udang? Bukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Masjid Tanah memandangkan Datuk adalah anak jati di situ.

MOHD. ZAHAR: Saya melihat ada beberapa masalah melibatkan penduduk yang memerlukan perhatian. Selain itu, Sungai Udang juga berpotensi untuk dibangunkan menjadi tarikan ekonomi dan pelancongan yang perlu dieksploitasi.

Selama ini, penduduk di Sungai Udang sering ke Masjid Tanah untuk membeli-belah. Kenapa tidak di sini. Ini yang perlu kita ubah agar kawasan ini menjadi pusat ekonomi dan pelancongan dan memberi faedah kepada peniaga dan penduduk setempat.

Masalah rizab Melayu dan nikmat kebersamaan dalam banyak perkara tidak ada.

Selain itu, saya juga terpanggil untuk terlibat dalam politik Melaka disebabkan kemelut-kemelut yang berlaku sebelum ini dalam kalangan pemimpin tempatan. Saya dapati pengundi di sini keliru untuk memilih pemimpin. Itu belum isu melompat parti dalam kalangan ahli politik.

Daripada pemerhatian, saya mendapati rakyat sudah muak dengan keadaan yang berlaku termasuklah ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan akibat daripada tindakan ahli politik sendiri. Bagi saya, rakyat mahu memilih ketua yang ada kredibiliti.

Bagaimana Datuk melihat cabaran daripada calon-calon lain yang bertanding di sini?

MOHD ZAHAR: Saya akui saingan di kerusi Sungai Udang mencabar apatah lagi calon-calon lain mewakili gabungan parti-parti politik yang besar dan memiliki struktur organisasi yang kukuh seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, seperti yang saya cakap dari awal, kelebihan saya bersandarkan ikatan persaudaraan dalam ketenteraan. Kami bersama, malah prinsip kepercayaan sama.

Bertanding sebagai calon bebas mempunyai cabaran lebih besar terutama dalam mendekati pengundi. Bagaimana Datuk merangka kempen?

MOHD ZAHAR: Disebabkan prosedur operasi standard yang ketat, saya tidak boleh . bersemuka atau berucap secara terbuka. Saya kerap menggunakan media sosial seperti facebook dan grup whatsApp untuk berinteraksi dengan rakyat.

Saya juga menghantar risalah-risalah kepada penduduk dan berjumpa mereka ringkas.

Ramai yang berpandangan termasuk pemimpin politik meramalkan agak sukar setiap parti yang bertanding di PRN Melaka membentuk kerajaan sendiri. Apakah Datuk bersedia untuk berkrompromi dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan campuran jika ia berlaku?

MOHD. ZAHAR: Kami ada 15 calon bebas dan kita ada persetujuan. Kita akan lihat persetujuan selepas ini. Kami tidak mahu menjadi seperti ‘katak’. Kami mungkin menjadi penyokong tetapi masih atas tiket bebas. Sesiapa yang lari bermakna orang itu tidak ada keyakinan. Cuma kekuatiran saya siapa yang akan memerintah kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya