PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan lapan kluster Covid-19 baharu selepas semalam mencatatkan 10 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan lapan kluster itu menjadi keseluruhan kluster aktif sebanyak 234 kluster.
“Selain itu, 5,672 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,906 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 5,755 kes berbanding semalam, 5,594 kes sekali gus mengatasi 5,082 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 506 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 270 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,755 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 101 kes (1.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 5,654 kes (98.2 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 47 kes berbanding kelmarin, 63 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 30,110 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 10 daripada 47 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,087 kes. – UTUSAN