KANGAR: Sebanyak 43,124 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini setelah Perlis memasuki fasa empat Pelan Pemulihan (PPN) pada 8 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, jumlah tersebut melibatkan 23,777 murid sekolah rendah dan 19,347 pelajar menengah.
Katanya, pembukaan tersebut turut melibatkan 2,380 guru sekolah rendah dan 2,302 guru sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,682 orang.
“Pembukaan ini melibatkan 104 buah sekolah iaitu masing-masing 74 buah sekolah rendah dan 30 sekolah menengah. Daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh buah sekolah beroperasi penuh tanpa sistem pengiliran kerana jumlah pelajarnya yang tidak melebihi 150 orang.
“Sehingga kini, jumlah pelajar sekolah menengah yang sudah divaksin adalah sebanyak 5,275 orang yang melibatkan 32 buah sekolah termasuk sekolah agama, kolej vokasional dan dua buah maahad tahfiz,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE