406 penjawat awam terima ganjaran lapor aktiviti rasuah 

406 penjawat awam terima ganjaran lapor aktiviti rasuah 

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) bersama Azam Baki (dua dari kanan) menunjukkan dokumen MoU pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Peringkat KBS 2021 di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerajaan sudah memberi ganjaran kira-kira RM813,806 kepada 406 penjawat awam sebagai habuan kerana melaporkan aktiviti rasuah dalam perkhidmatan awam, setakat ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, ia sebagai pengiktirafan kerana bertindak sedemikian bagi membanteras gejala itu dalam sektor awam.

Beliau secara peribadi amat menyanjung tinggi mereka yang mempamerkan integriti tinggi dan melaporkan tawaran atau penerimaan rasuah.

“Perbuatan tersebut bukan mudah, tetapi wajib dilakukan demi kepentingan negara.

“Kerajaan juga amat menghargai penjawat awam yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Azam berkata, pemberian ganjaran itu sejajar dengan surat pekeliling bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’ , yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara sejak 11 Mei 2011 .

Beliau berkata, objektif utama pekeliling ini adalah menggalakkan penjawat awam melaporkan rasuah dan mengiktiraf penjawat awam yang memperlihatkan etika dan integriti dalam menangani rasuah.

Menurutnya, melalui pekeling ini, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan.

“Perbuatan tidak melaporkan tawaran, pemberian, permintaan atau penerimaan rasuah merupakan satu kesalahan menurut Seksyen 25(2) dan Seksyen 25(4) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara dan didenda jika didapati bersalah.

“Peruntukan undang-undang ini bukan retorik atau sekadar menakut-nakutkan masyarakat kerana SPRM telah mendakwa beberapa individu kerana gagal melaporkan tawaran rasuah kepada SPRM,” katanya.

Katanya, usaha melaporkan sebarang cubaan rasuah pasti mampu menggetarkan pihak yang cuba membeli amanah sebagai penjawat awam dengan wang ringgit.

Pada masa sama, Azam berkata, secara umumnya, penjawat awam adalah kumpulan yang paling ramai ditangkap kerana rasuah.

“Setiap tahun, hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM adalah melibatkan penjawat awam dan perkara ini amat menyedihkan saya.

“Ketiadaan integriti apabila mempunyai kuasa dan peluang merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah.

“Jika kesalahan dilakukan oleh pegawai saya sendiri, saya akan pastikan tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka. Perkara ini telah saya lakukan dalam kes-kes yang lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya