GEORGETOWN: Kira-kira 40 peratus daripada rakyat negeri ini yang menerima janji temu untuk mendapatkan dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera didapati tidak hadir untuk menerima suntikan dos tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut data yang dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), jumlah penerima dos penggalak setakat semalam ialah 23,129 orang.
Sehubungan itu tambahnya, beberapa keputusan telah dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa khas keselamatan negeri pagi ini untuk meningkatkan kadar pengambilan dos penggalak berkenaan.
“Sebanyak 26 fasiliti swasta baharu bakal tersenarai sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan berbanding 47 buah pada masa ini.
“JKNPP turut menerima dua permohonan untuk mewujudkan ‘Health Care Organisation’ (HCO) pusat pemberian suntikan dos penggalak di dewan yang lebih besar dengan kapasiti melebih 1,000 suntikan sehari,” katanya.
Tambahnya, pelbagai agensi turut berganding bahu dalam meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendapatkan dos berkenaan.
Selain itu katanya, tumpuan turut diberikan kepada kes-kes suntikan dos kedua termasuk kes-kes yang tercicir.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, JKNPP dalam pada itu turut menekankan penularan jangkitan Covid-19 masih berlaku dalam komuniti.
“Orang ramai digalakkan untuk mengamalkan Kesihatan Awam Kendiri/TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) khususnya segera membuat ujian saringan sama ada secara kendiri atau di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan.
“Pendekatan berkaitan juga merupakan kunci bagi mengawal perebakan varian Delta yang turut dikesan di negeri ini,” katanya.
Kon Yeow juga berkata, secara keseluruhannya, Pulau Pinang mencatatkan penurunan ketara dalam kes Covid-19 namun rakyat tidak boleh leka kerana perjuangan melawan Covid-19 masih belum berakhir. – UTUSAN