PETALING JAYA: Kira-kira 40 peratus individu yang menerima temu janji suntikan dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir menerima suntikan itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kadar penerimaaan suntikan dos penggalak yang rendah itu dikhuatiri meningkatkan bilangan kemasukan ke hospital.
“Sekiranya pengambilan penggalak adalah rendah terutama dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, bilangan kemasukan ke hospital akan meningkat.
“Ini sudah pasti, jika anda mendapat temu janji, ambil dos penggalak,” katanya dalam laman Twitter, hari ini.
Pada 21 Oktober lepas, Kementerian Kesihatan memaklumkan, pemberian dos penggalak menggunakan vaksin Corminaty keluaran Pfizer bermula 13 Oktober lalu.
Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah PICK bagi memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.
Pemberian dos penggalak itu juga dilaksanakan bagi penerima vaksin Comimaty sekurang- kurangnya enam bulan yang lalu dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan merangkumi anggota kesihatan dan keselamatan, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta individu dengan komorbid.
Bermula 22 Oktober lalu, pemberian dos penggalak diperluas kepada warga emas yang telah lengkap dua dos vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu. – UTUSAN ONLINE