SABAK BERNAM: Sebanyak 31 rumah dan kedai penduduk di sekitar daerah ini dilanda banjir apabila dilimpahi air akibat fenomena air pasang besar, pagi tadi.
Kawasan itu melibatkan Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Dataran Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Kampung Baharu dan Kampung Nelayan.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku antara pukul 4 hingga 5.30 pagi.
“Semua rumah dan kedai penduduk yang dilanda banjir masing-masing 15 di Dataran Pantai Batu 23 dan Dataran Pantai BNO.
“Bagi Kampung Baharu, hanya sebuah rumah dinaiki air dan turut melibatkan jalan utama berdekatan,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, limpahan air berkenaan berada pada paras hampir satu kaki. – UTUSAN ONLINE