MELAKA: Semua 28 calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melafaz ikrar dan menandatangani surat akujanji menentang rasuah.
Mereka berbuat demikian di hadapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama PN Melaka di Taman Seri Tanjung Minyak.
Terdahulu, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohidden mengetuai bacaan ikrar tersebut dan diikuti oleh calon lain.
Semalam, Muhyiddin memberitahu langkah itu bagi menunjukkan komitmen gabungan parti berkenaan dalam perjuangan memerangi rasuah.
Katanya, ia sekali gus mengambarkan ketegasan dan pendirian PN ialah mendokong prinsip-prinsip menentang segala penyalahgunaan kuasa dan menentang segala bentuk rasuah.
“Kita tidak akan biarkan ia bermaharajalela dan kita akan menentukan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak dan (pastikan) tidak ada satu kelompok masyarakat yang tertinggal dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam Pentas PRN Melaka.