KUALA KANGSAR: Seramai 279 daripada 369 orang guru yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini menolak untuk menerima suntikan itu sehingga semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sehubungan itu menggesa semua guru berkenaan segera menerima vaksin sebelum sesi persekolahan di negeri ini bermula pada 22 November ini.
Menurutnya, keenganan guru terlibat untuk menerima suntikan vaksin akan menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terjejas apabila sekolah dibuka seperti biasa selepas ini.
“Terdapat 37,438 guru di negeri ini dan daripada jumlah itu, 37,069 guru telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.
“Bagaimanapun masih ada 369 guru belum divaksin dan daripada itu, seramai 279 orang menolak vaksin.
“Saya merayu agar mereka menerima vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka pada 22 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad Ali.
Saarani berkata, guru yang enggan menerima vaksin perlu memikirkan soal keselamatan orang lain terutamanya para pelajar dan kerisauan ibu bapa apabila mengetahui guru yang mengajar anak mereka tidak disuntik vaksin.
“Guru kata tidak ambil vaksin kerana hak asasi mereka, tetapi jangan lupa hak asasi orang lain pun ada, iaitu hak asasi untuk merasa selamat dan terlindung.
“Bayangkan kalau cikgu tidak ambil vaksin dan ibu bapa hantar anak ke sekolah dengan pengetahuan ada cikgu tidak ambil vaksin, sudah tentu kita akan rasa tidak selamat,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan ke atas semua guru yang enggan menerima suntikan vaksin, Saarani berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu Kementerian Pendidikan.
“Bagi segi kekosongan 279 orang guru yang enggan divaksin itu, kita serahkan pada Pengarah Pendidikan kerana mereka ada cara dan kaedah menentukannya sebab pelajar mesti belajar,” katanya. – UTUSAN