1MDB diurus seperti kedai kopi di Jalan Petaling - Sri Ram - Utusan Malaysia

1MDB diurus seperti kedai kopi di Jalan Petaling – Sri Ram

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyamakan perjalanan urus tadbir syarikat itu seperti pengurusan sebuah kopitiam, demikian Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika membuat perumpamaan sedemikian menyatakan, hal ehwal 1MDB pada ketika itu diuruskan seperti kedai kopi Cina (kopitiam) di Jalan Petaling.

Menurut Sri Ram, pengurusan syarikat itu mendapat arahan daripada Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) yang disifatkan sebagai alter ego kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan membantah soalan balas pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman.

Mahkamah sedang mendengar perbicaran kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Sebelum itu, peguam yang mewakili Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammad bertanyakan saksi itu berhubung pinjaman yang diambil daripada 1MDB berjumlah AS$975 juta pada 2014.

Peguam bela meminta kepastian daripada Mohd. Hazem sama ada pengurusan 1MDB telah mengelirukan pengarah syarikat dan beliau memberi maklum balas tidak pasti.

Pada peringkat itu, Sri Ram membantah soalan tersebut kerana ia tidak relevan sambil menegaskan Mohd. Hazem bukan dibicarakan dalam kes itu, sebaliknya dipanggil sebagai saksi.

Wan Aizuddin bagaimanapun menjelaskan kepada mahkamah, pihak pembelaan akan menunjukkan bahawa terdapat salah urus dalam syarikat 1MDB yang disebabkan oleh angkara Jho Low.

Perbicaran di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN