19 penjara kluster dadah mula dibina tahun hadapan - Utusan Malaysia

19 penjara kluster dadah mula dibina tahun hadapan

ABDUL Aziz Abdul Razak (berdiri dua dari kiri) ketika melawat ke Pusat Terapi Komuniti di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu dekat Jelebu hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sebanyak 19 buah penjara kluster yang menempatkan banduan kes dadah akan mula dibina pada tahun depan dengan projek rintis akan bermula di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang di Selangor.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, di Penjara Sungai Buloh, dua penjara kluster dadah akan diwujudkan dengan kapasiti 1,000 orang banduan kes dadah manakala di Penjara Kajang akan menempatkan 500 banduan.

“Konsep dan reka bentuk juga telah disediakan dan ia akan menempatkan setiap pusat penjara dadah ini seramai 500 orang banduan pesalah dadah. Kami menjangkakan ada 19 buah penjara kluster dadah.

“Dengan adanya penjara kluster dadah ini, kesemua pesalah-pesalah dadah yang perlu menjalani pemulihan secara intensif akan ditempatkan di penjara-penjara tersebut.

“Menerusi kelulusan kerajaan untuk mewujudkan penjara kluster dadah ini, kami menjangkakan kesesakan banduan di penjara-penjara sedia ada dapat diatasi selain meningkatkan keberkesanan program pemulihan kepada pesalah-pesalah dadah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pusat Terapi Komuniti, Institusi Pemulihan Dadah (IPD) Jelebu di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Abdul Aziz, Pusat Terapi Komuniti dilihat sebagai kaedah yang terbukti keberkesanannya dan diiktiraf bagi merawat dan memulihkan penagih dadah.

“Ia mula diperkenalkan kepada satu institusi penjara pada 1992 di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang dan sehingga tahun ini terdapat 20 buah institusi penjara yang melaksanakannya.

“Keberkesanannya dapat dilihat menerusi peratus pencapaian kekal pulih melalui pemantauan terakhir pada 2002 adalah 80 peratus kekal pulih dalam masa lima tahun selepas penghuni dibebaskan,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Penjara Malaysia juga menetapkan empat matlamat utama penubuhan Pusat Terapi Komuniti tersebut termasuk sebagai model kepada pengurusan program pemulihan dadah bagi 19 buah penjara kluster dadah yang akan dibina tersebut.

“Matlamat lain adalah untuk melaksanakan program pemulihan dadah secara intensif dan fokus bagi mencapai kadar residivis (pelaku jenayah berulang kali) yang rendah dalam kalangan pesalah dadah serta mencapai Dasar Dadah Negara iaitu untuk mengurangkan kadar penagih dadah di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN