KUBANG PASU: Sebanyak 18 pusat peranginan termasuk kawasan air terjun di lapan daerah di negeri ini berisiko berlaku kejadian kepala air terutama pada musim hujan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sebanyak empat lokasi dikenal pasti di daerah Baling iaitu Bukit Hijau, Lata Bayu, Lata Celak Iboi dan Sungai Ketil.
“Bagi daerah Langkawi, tiga lokasi terlibat ialah Air Terjun Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun dan Hutan Lipur Lubuk Semilang manakala satu di daerah Kuala Muda iaitu Air Terjun Tupah.
“Tiga lagi lokasi ialah di daerah Kulim iaitu Air Terjun Ulu Paip, Air Terjun Junjung dan Kuala Sedim serta dua di daerah Yan iaitu Air Terjun Titi Hayun dan Air Terjun Batu Hampar,” katanya ketika ditemui di Hutan Lipur Bukit Wang dalam daerah Kubang Pasu di sini, semalam.
Katanya, di daerah Sik pula ialah Lata Mengkuang dan Lata Peranginan serta dua lagi di daerah Kuala Nerang iaitu Puncak Janing dan Sungai Empangan Pedu selain satu di Kubang Pasu iaitu Bukit Wang.
Dalam kejadian kepala air yang berlaku sekitar Hutan Lipur Bukit Wang, di sini kelmarin, Mohamadul Ehsan memberitahu, seramai 20 mangsa diselamatkan iaitu dua mangsa terperangkap di Hutan Lipur Bukit Wang dan 18 lagi mangsa di Surau Batu Sungai Changlun.
“Hujan lebat mengakibatkan banjir kilat di kawasan penempatan berdekatan dan air naik sehingga lebih 1.5 meter. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang mangsa, Noraini Ramli, 43, di Kampung Lahar di sini berkata, kejadian banjir banjir akibat kepala air tersebut menyebabkan rumahnya dinaiki air setinggi satu meter kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, ketika kejadian dia sedang mengemas bahagian dapur rumahnya setelah air pada awalnya masuk ke rumah kira-kira pukul 7 petang.
“Ketika itu air masih jernih dan tidak tinggi cuma separas buku lali sahaja, tetapi dalam pukul 8 malam datang pula air kali kedua dengan air yang lebih laju dan penuh selut.
“Saya tidak sempat selamatkan barang, cuma terfikir untuk selamatkan anak-anak dan ibu mentua yang terlantar,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, di sini.
Seorang lagi mangsa, Jamilah Saad, 56, berkata, mereka sekeluarga pada awalnya sudah memindahkan suaminya, Hassan Ismail, 60 yang terlantar akibat strok ke rumah saudara terdekat sebelum dilanda kali kedua air banjir.
“Kami bernasib baik kerana sempat pindahkan suami sebab air kali kedua sangat laju.
“Sudah lama kami tidak kena banjir macam ini. Saya harap selepas pulang ke rumah nanti, tidak berlaku lagi kejadian lebih buruk.
“Apabila fikirkan keadaan suami yang terlantar, saya agak susah hati, pergerakan dia terhad dan cuma mengharapkan saya dan anak,” katanya. -UTUSAN ONLINE