BUTTERWORTH: Seramai 1,696 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara dilaporkan dijangkiti Covid-19 sehingga kini sejak pandemik itu melanda tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, perkara itu tidak menjejaskan perkhidmatan jabatan berkenaan.
Tambah beliau, ketika ini juga seramai 68 anggota bomba sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif termasuk kurantin di rumah, di hospital Covid-19 atau di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).
“Daripada 1,696 yang dijangkiti sejak 2020, dua daripada mereka terkorban iaitu pegawai kanan di Sabah dan Negeri Sembilan yang mendapat penularan daripada komuniti dan bukan ketika tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Saadon Moktar.
Pada majlis itu, seramai 37 pegawai dan anggota menerima pingat kebesaran termasuk Pingat Jasa Bomba; Pingat Setia Bomba dan Pingat Cemerlang Bomba serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (68 orang) dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan (19 orang).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, setakat ini kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan 14,500 anggota bomba telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
Ujar beliau, penerimaan dos penggalak itu adalah sebahagian persediaan anggota jabatan berkenaan dalam menghadapi musim banjir ketika ini.
“Ini kerana pengendalian banjir dan pengurusan bencana itu kali ini cukup mencabar memandangkan kita masih lagi berada dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE