SHAH ALAM: Tindakan 16 pendaki memasuki hutan simpan tanpa permit sah di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bukit Kutu, Hulu Selangor memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa semalam.
Penahanan kesemua individu berusia 32 hingga 59 tahun itu dilakukan ketika mereka mendaki kawasan berkenaan, kira-kira pukul 9 pagi.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan pihaknya selama lima jam di HSK tersebut.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 14 pegawai Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS) dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu.
“Pemeriksaan mendapati seramai 16 orang awam tidak mempunyai permit sah memasuki hutan berkenaan.
“Berikutan itu, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semua individu didapati memberi alasan tidak mengetahui keperluan memasuki HSK memerlukan permit dan hanya mengikut rakan mereka.
“Mereka sepatutnya sudah peka dengan keperluan itu selepas beberapa siri operasi permohonan permit masuk hutan simpan sebelum ini.
“Justeru, kita menasihatkan semua pendaki hanya memasuki kawasan hutan yang dibenarkan dengan memohon permit selain menjaga keselamatan dan kebersihan,” ujarnya.
Ahmad Fadzil menambah, kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).
Pada 25 September lalu, JPNS turut menahan 56 individu yang mendaki di Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran.
Operasi berkenaan dijalankan hasil aduan penduduk yang mendakwa ramai pendaki memasuki hutan itu melalui kawasan kediaman mereka tanpa permit sah.
Penduduk mendakwa, pengunjung mengganggu kehidupan harian mereka dengan meletak kenderaan di tepi jalan rumah mereka sehingga merosakkan paip air, tong sampah dan meninggalkan sampah merata-rata. – UTUSAN