BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 14 buah pasar awam di Seberang Perai dikategorikan sebagai berisiko tinggi di bawah Pelan Tindakan Fasa 4 bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini bermula 8 November lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pasar awam itu adalah Pasar Awam Bukit Mertajam; Pasar Awam Kampung Baru; Pasar Awam Taman Chai Leng Park; Pasar Awam Taman Selamat; Pasar Awam Sri Rambai; Pasar Apollo/Kompleks Bunga Raya; Pasar Awam Sri Bandar dan Pasar Awam Bagan Ajam.
Katanya, turut tersenarai ialah Pasar Awam Tasek Gelugor; Pasar Awam Kepala Batas; Pasar Awam Taman Berjaya; Pasar Awam Bukit Panchor; Pasar Awam Perkampungan Valdor serta Pasar Awam Tambun Indah.
“Pasar awam dan kompleks makanan lain di Seberang Perai yang tidak tersenarai sebagai berisiko bagaimanapun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Rozali, penyenaraian pasar awam itu merupakan sebahagian daripada tujuh tindakan di bawah PPN Fasa 4 untuk negeri Pulau Pinang khususnya di kawasan Seberang Perai.
Rozali berkata, secara keseluruhannya terdapat 16 tindakan di bawah pelan itu yang turut merangkumi pengoperasian di kawasan pasar malam, pasar pagi, pasar tani, uptown dan food truck serta taman rekreasi dan bangunan strata yang masing-masing melibatkan tiga tindakan berasingan.
“Untuk pasar malam, pasar pagi, pasar tani, uptown dan food truck, MBSP telah menerima dan meluluskan secara keseluruhannya 114 permohonan iaitu sehingga 9 November lalu ketika 21 lagi penganjur yang sepatutnya memohon belum berbuat demikian ketika ini,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, bagi taman rekreasi, pemeriksaan mengejut bagi memastikan pematuhan SOP telah dilakukan di 22 buah taman rekreasi serta 925 kawasan lapang di seluruh Seberang Perai sehingga kini.
“Pada masa sama, untuk bangunan strata pula, surat edaran telah dikeluarkan kepada semua JMB (badan pengurusan bersama), MC (perbadanan pengurusan) serta pengurus bangunan berkaitan tindakan yang perlu diambil oleh mereka jika terdapat individu yang disahkan positif Covid-19 selepas ini.
“MBSP berharap semua pihak mengekalkan disiplin diri dalam suasana norma baharu dan mematuhi semua SOP yang telah diperakukan dalam menentang Covid-19 ini,” ujarnya. – UTUSAN