Sebanyak 14 balai bomba, dua pusat MERS ditambah

14 balai bomba, dua pusat MERS ditambah

REEZAL Merican Naina Merican dipakaikan pangkat oleh Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 14 balai bomba dan penyelamat serta dua pusat Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) ditambah di seluruh negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pertambahan balai bomba dan pusat MERS tersebut susulan peningkatan jumlah populasi selain kadar perbandaran meningkat hampir 80 peratus.

Menurutnya, langkah tersebut juga adalah usaha untuk menurunkan kadar waktu respons dari 10 minit kepada lapan minit seperti di negara-negara maju termasuk Singapura.

“Ada tempat-tempat yang setelah dibuat analisis, memang sudah ada keperluan 14 balai bomba tersebut. Kita memang memahami keadaan fiskal dan cabaran dihadapi negara.

“Ini soal nyawa dan bagaimana kita boleh respons sesuatu bencana, kemalangan dan kebakaran yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Kalau kita nak jadi negara maju, apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan keupayaan dan kapasiti bomba melalui pembinaan balai-balai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM kepada beliau yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam pada itu, Reezal berkata, bagi tujuan itu, beliau akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed esok bagi membincangkan perkara tersebut.

Mengenai pusat MERS, katanya, pada masa ini terdapat tiga pusat MERS iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Sarawak sekali gus perlu ditambah dua lagi pusat itu di negeri Sabah dan Pantai Timur.

“Kita masih ingat apa yang berlaku di Penampang, Sabah dua bulan lalu yang mengakibatkan kehilangan jiwa. Ini salah satu daripada kesulitan kerana apabila waktu respon tidak dapat dilakukan dan panggilan tersebut ke Melaka.

“Kadangkala untuk membuat panggilan telefon mengambil masa. Orang di Sabah nak bercakap laporan berkaitan dengan orang di Melaka, barangkali berlaku soal alamat dicatat tidak tepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Reezal berkata, beliau akan memperjuangkan isu gaji perkhidmatan bomba berikutan ia tidak setara dengan anggota beruniform lain.

“Semakan gaji bomba, penambahan gred, kenaikan, klasifikasi perkhidmatan dan kod gaji ini insya-Allah saya akan bangkitkan. Saya akan buat permohonan untuk diberi pertimbangan kerajaan nanti,” ujarnya.

Pada ketika ini difahamkan gaji pokok bagi gred terendah dalam perkhidmatan bomba iaitu gred KB19 adalah sebanyak RM1,360 dengan kenaikan tahunan RM100 selain elaun bayaran insentif bomba RM200 dan elaun penjawat lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya