SHAH ALAM: Seramai 132 penjawat awam daripada Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan masih belum menerima vaksin Covid-19 walaupun satu pekeliling daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua kakitangan awam mengambilnya berkuatkuasa pada 18 Oktober lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud yang memberitahu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 (PP Bil.4/2021) Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan turut terpakai kepada kakitangan kerajaan negeri.
“Mengikut pekeliling tersebut, pegawai dan penjawat awam bertanggungjawab untuk mengambil vaksin bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja dengan selamat.
“Selepas 1 November, ketua jabatan boleh mengarahkan penjawat awam berkenaan mengambil vaksin dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap mereka.
“Sekiranya pegawai itu tidak boleh mengambil vaksin atas sebab kesihatan, mereka harus membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapat pengesahan daripada pegawai kesihatan berhubung perkara terbabit,” katanya ketika Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong mengenai jumlah penjawat awam yang masih belum divaksin sehingga hari ini.
Dalam pada itu, ADUN Seri Serdang memaklumkan dianggarkan sejumlah 4.77 juta penduduk Selangor yang berumur 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Menurutnya, sejumlah 348,890 rakyat Selangor dalam kumpulan terbabit yang masih tidak divaksin.
“Sebahagian kecil yang belum divaksinasi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori ini mempunyai kontraindikasi kepada vaksin Covid-19, manakala selebihnya merupakan golongan yang menolak vaksin.
“Proses pemberian vaksinasi sedang berjalan menerusi program jangkauan luar (outreach) yang dijalankan oleh Pasukan Outreach PKD dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MERCY dan IMARET,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE