132 pengedar dan penagih dadah diberkas, pelbagai jenis dadah bernilai RM17,493 dirampas - Utusan Malaysia

132 pengedar dan penagih dadah diberkas, pelbagai jenis dadah bernilai RM17,493 dirampas

SEBUAH pondok yang menjadi lokasi pengedar dan penagih dadah diserbu oleh polis di sebuah ladang sawit di Felda Sungai Koyan di Lipis, Pahang. - GAMBAR IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang bekas tentera antara 132 suspek pengedar dan penagih dadah diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pahang dalam serbuan terhadap ‘port‘ dadah di lima buah daerah negeri ini sempena Op Sarang Khas yang bermula 30 Oktober lalu hingga hari ini.

Serbuan melibatkan kawasan Felda dan rumah ke rumah di Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut rata-rata membabitkan penahanan suspek lelaki berusia 20 tahun ke atas ketika sedang menjalankan aktiviti jenayah dadah di beberapa ‘port‘ kawasan tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi berkenaan bertujuan menggempur sarang pengedar dadah yang semakin berleluasa di daerah tersebut khususnya di kawasan Felda yang mempunyai ramai penagih yang telah dikenal pasti menerusi risikan dan maklumat orang ramai.

“Seramai 14 orang daripada sejumlah yang diberkas akan disiasat di bawah Seksyen 29B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 kerana didapati terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan heroin dan sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.

“Tiga orang lagi yang diberkas akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan heroin manakala 21 orang lagi yang ditahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Sungai Koyan di sini semalam.

Yang turut hadir iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintenden Azmi Awang Lah dan Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor.

Menurut Ramli, polis juga dengan kerjasama kerajaan negeri memilih kawasan Jelai, Lipis untuk pelancaran Program Jihad Dadah sebagai tindakan pemutihan bagi memastikan penyeludupan dadah dapat disekat di kawasan sempadan bagi negeri yang berdekatan dengan Pahang.

Sempena dengan pelancaran program tersebut, polis juga menjalankan Op Sarang Khas dengan melibatkan operasi serbuan dan tangkapan yang sama dalam tempoh dua hari ini di Kampung Kuala Medang, Felda Sungai Koyan dan Kampung Tanjung Gahai.

Ramli berkata, seramai 88 orang warga tempatan yang lain akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 kerana positif dadah.

“Kita juga turut menahan seramai enam orang yang disyaki memiliki cecair daun ketum dan akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, dadah yang dirampas sempena Op Sarang Khas di lima buah daerah sehingga hari ini, iaitu dadah jenis heroin seberat 151.51 gram, Syabu (113.62 gram), pil kuda (23.85 gram), pil eramin 4 (4.5 gram), cecair kodein (0.04 liter) dan air ketum (4.5 liter) membabitan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM17,493.

“Setelah semakan terhadap semua suspek yang ditangkap, mereka didapati memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sejak Januari hingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang menangkap seramai 6,342 orang pengedar dan penagih dadah melibatkan keseluruhan berjumlah 5,220 kes.

“Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah dan cecair daun ketum berjumlah RM3.4 juta serta menyita harta pengedar dan penagih dadah bernilai RM4.2 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya